fr logo
fr logo
youtube
facebook
instagram
innerbannertf
srnk01.jpg 1517811685
Impian untuk melihat anak bangsa mempunyai ilmu duniawi dan akhirat sebagai bekalan menjadi pendorong kepada individu ini untuk menceburi bidang keusahawanan pendidikan.
Pada masa sama ingin memperkenalkan konsep secara proaktif, kreatif dan inovatif yang sepatutnya menjadi sikap dalam kalangan kanak-kanak Islam berjaya.
Justeru, segalanya cuba dizahirkan pengasas dan pemiliknya, Mohd Helmi Ahmad, 43, menerusi penubuhan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) Tahfiz Fitrah di Pulau Pinang.
Ia mengutamakan penguasaan pendidikan anak mengikut sunah Rasulullah sebagai teras dalam membina murid cemerlang secara holistik.
Mohd Helmi sentiasa berusaha dengan berdikari bagi menjana pendapatan selain turut menabur budi kepada masyarakat.
“Kami memberikan penekanan bukan saja meliputi aspek duniawi seperti pendidikan bahasa Inggeris dengan teknologi terkini, tetapi pada masa sama memberi didikan mengikut kategori umur,” katanya.
Mohd Helmi berkata, bagi kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun, ibu bapa dinasihatkan supaya banyak bergurau, membelai dan memanjakan mereka dengan penuh kasih sayang.

Picture1
KANAK-kanak sedang mengikut aktiviti bercerita.

Pada kategori umur berkenaan, ibu bapa sebaiknya mengelak daripada menggunakan pendekatan agak kasar seperti merotan, sebaliknya lebih banyak menasihati anak mereka.

“Kami memberikan tumpuan kepada kanak-kanak berusia dari tujuh hingga 14 tahun. Pada usia begitu, ibu bapa perlulah mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan tanggungjawab khususnya dalam aspek solat, puasa serta ibadat.

“Kita mahu tujuan akhir pendidikan ialah membentuk insan bersih personaliti, corak kehidupannya, emosi, suci budi pekerti, murni dalam pergaulan disertai unsur berlandaskan perintah Allah seperti terkandung dalam al-Quran dan hadis,” katanya.

Mohd Helmi berkata, remaja berusia 15 hingga 21 tahun pula hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat selain menghormati mereka selagi tidak melanggar syariat Islam.

Bagi anak berusia 21 tahun ke atas, ibu bapa hendaklah memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam termasuk berperanan sebagai penasihat supaya segala tindakan mereka terkawal.


111111
SEORANG pelajar dibimbing guru dalam pengajian al-Quran.

“Sokongan dan dorongan daripada keluarga adalah faktor kejayaan apabila mereka selama ini tidak jemu membantu saya memajukan tadika ini pada saat penubuhannya hingga mencipta kejayaan selepas melalui pelbagai saat suka dan duka.

“Teknik pembelajaran diperkenalkan di tadika ini merangkumi kaedah menyeronokkan selain membantu kanak-kanak belajar dengan mudah, cepat dan kurang tekanan bagi memberi lebih tumpuan ketika sesi pembelajaran.

“Kami terus mengorak langkah bagi meningkatkan mutu pendidikan dengan menjalinkan kerjasama dengan melantik pakar Qiraat Al-Azhar, Syeikh Muhammad Abdunnabi Abdil Hasib sebagai penasihat kehormat bagi memantau tadika berkaitan al-Quran.

“Kepakaran beliau mempraktikkan cara lebih berkesan bagi memantapkan penguasaan kanak-kanak terhadap al-Quran sejak kecil lagi,” katanya.











Laman web kami telah dilindungi sepenuhnya oleh Comodo SSL