Maklumat Berkenaan Tadika Kami

PENDAHULUAN
Tadika tahfiz fitrah di asaskan untuk memberi perkhidmatan pendidikan dan tarbiah untuk kanak-kanak pra sekolah di samping menyediakan kelas fardhuain. Perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan oleh pihak kami merangkumi skop yang luas, bukan setakat menjadikan seorang pelajar itu pandai tetapi dapat mengamalkan ilmu yang dipelajari seterusnya berusaha untuk memberi manfaat kepada manusia . Ia amat bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Sebaik-baik manusia ialah yang dapat memberi manfaat kepada manusia . Pendidikan akan menentukan cara berfikir seseorang pelajar malah lebih jauh dari itu kerana ia akan membentuk sistem kehidupan yang menjamin kebahagiaan pelajar tersebut di dunia dan di akhirat.

VISI
Melahirkan pelajar yang berilmu dan berakhlak berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah

MISI
Memperkasakan sistem pendidikan islam di samping tuntutan pendidikan semasa pada peringkat pra sekolah bagi menjana generasi pelajar yang berketerampilan dari segi ilmu dan sahsiahnya.

OBJEKTIF
Objektif dan matlamat kami adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai gandingan ciri-ciri berikut :-

  • Melahirkan individu yang beriman, berilmu, bertanggungjawab dan berketerampilan dengan skil-skil terkini (sistem pembelajaran).

  • Berusaha mewujudkan peribadi yang mencernakan akidah dan akhlak islam.

  • Untuk menyuburkan potensi pelajar dalam semua aspek pertumbuhan diri yang seimbang supaya mereka menjadi individu yang berguna kepada dirinya dan masyarakat dengan berlandaskan konsep pendidikan islam.

PENERAPAN NILAI
Pihak warga Tadika Tahfiz Fitrah akan berusaha menyumbang secara menyeluruh dan berkesan kepada kejayaan tadika seiring visi dan misinya. Justeru itu dalam sistem kerja, kami akan menerap ciri-ciri berikut:-

  • Fokus pengguna
    Pihak tadika komited dalam menjalinkan hubungan baik antara para waris dan pelajar-pelajar sebagai individu penting yang sentiasa mempunyai keperluan dalam memenuhi tuntutan pendidikan anak-anak mereka. Maka pihak kami akan sentiasa memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan tadika dari semasa ke semasa.

  • Kerja berkumpulan (Musyawwarah)
    Kami sentiasa mewujudkan persekitaran dan suasana kerja yang kondusif bagi memberi ruang dan peluang kepada guru untuk mengoptimumkan potensi dirinya. Di samping itu, kami mengamalkan konsep keterbukaan dan perbincangan bersama dalam memikul tugasan agar wujud persefahaman dan dapat melaksanakan tugas dengan baik dan sempurna.

  • Inovasi
    Kami para pendidik akan sentiasa melengkapkan pengetahuan mengenai pendidikan pra sekolah yang merangkumi aspek-aspek perkembangan kanak-kanak, strategi pengajaran dan pembelajaran secara berterusan.

RUMUSAN
Kesimpulannya kita perlulah memahami bahawa walaupun setiap generasi pelajar itu umumnya adalah sama untuk setiap zaman, tetapi ianya mempunyai penekanan dan pendekatan mentarbiyah mengikut peredaran masa. Maka marilah kita sama-sama mendidik berlandaskan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah dan seiring dengan kata-kata para sahabat :- Hendaklah kamu mendidik anak-anak kamu dengan didikan yang sewajarnya kerana mereka bukan hidup di zaman kamu.

  Cawangan 1 : No.2, Lorong Pauh Indah 2, Taman Pauh Indah, Permatang Pauh 13500 P.Pinang.
Cawangan 2 : No.23 Lintang Pauh Indah 1, Taman Pauh Indah, Permatang Pauh 13500 P.Pinang.
Tel : 04-3973179 / 019-4776724